Monday 8 April 2019

Dialek Patani (1)

Bahasa Melayu Bahasa Melau ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. 

Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. 

Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. 

Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan walaupun kerajaan Malaysia berhasrat menamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa Malaysia namun ianya bertentangan dengan nama bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan Malaysia. 

Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Patani(Selatan Thailand), Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan. 

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. 

Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain. 

Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. 

Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama “Bahasa Melayu” digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini ialah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. 

Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama. 

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. 

Melayu Riau-Johor menggunakan dialek “e” sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek “o”. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. 

Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. 

Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja. 

Di Patani, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang dari Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan. 

Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan pustaka Malaysia dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Dialek

Istilah dialek berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘dialektos’ yang pada mulanya digunakan dalam hubungannya dengan keadaan bahasanya. 

Di Yunani, terdapat perbezaan-perbezaan kecil di dalam bahasa yang digunakan oleh pendukungnya masing-masing, tetapi sedemikian jauh hal tersebut tidak sampai menyebabkan mereka berasa mempunyai bahasa yang berbeza. 

Mengikut Mario A. Pei, dialek adalah variasi satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa. 

Dialek mempunyai bentuk tertentu yang dituturkan dalam kawasan tertentu dan berlainan daripada bentuk standard dari segi sebutan, tata bahasa atau penggunaan kata-kata tertentu, tetapi kelainan tersebut tidak begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain. 

Faktor-faktor yang menimbulkan dialek terdiri daripada faktor alam, politik, penjajahan dan masa. Demikian pula halnya dengan ekonomi, cara hidup dan sebagainya. Ini tercermin juga di dalam dialek yang bersangkutan. 

Di Semanjung Malaysia contohnya, terdapat keadaan semulajadi yang terdiri daripada bukit-bukau, hutan rimba dan sungai yang merupakan rintangan-rintangan kepada perhubungan di antara penduduk-penduduknya, faktor politik telah membahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil, menghasilkan negeri-negeri Melayu Semenanjung Malaysia. 

Dialek-dialek yang berdasarkan tempat seperti itu dipanggil dialek setempat. Dialek-dialek setempat di Semenanjung Malaysia dan patani sebenarnya adalah variasi daripada bahasa Melayu. 

Dalam satu-satu dialek setempat di Malaysia dan Patani, terdapat pula idiolek-idiolek iaitu kelainan-kelainan pengucapan yang disebabkan oleh individu yang berlainan dan kelainan stilistik yang terjadi akibat konteks yang berlainan. 

Semua kelainan ini disebut dialek. Sungguhpun terdapat kelainan-kelainan tetapi bahasa tersebut tidak harus terkeluar daripada had saling kesefahaman yang menentukan bahawa kelainan-kelainan itu masih tergolong di dalam satu bahasa. 

Dialek Patani Bahasa Melayu Patani/Dialek Patani merupakan longat/pelek/lahjah Melayu yang dipertuturkan oleh penduduk Melayu dalam 5 wilayah selatan Thailand (Patani) Dialek ini juga sama dipertuturkan di negeri Kelantan, Malaysia, sebahagian Terengganu (di Pulau Perhentian dan Besut) serta sebahagian Kedah seperti di Baling, Sik serta Padang Terap. 

Pada dasarnya, Bahasa Melayu dialek Patani ini mirip dengan Bahasa Melayu Kelantan tetapi telah dipisahkan dengan keadaan sosial serta politik ke 2 negara tersebut. 

Dialek ini mempunyai perbedaan ketara berbanding dengan kebanyakan dialek Bahasa Melayu yang dituturkan di Semenanjung Malaya (terutama Bahasa Melayu Johor), yang menekankan penggunaan vokal [ə] (e pepet seperti perkataan emak). 

Bahasa Melayu Patani dan Kelantan memakai peralihan bunyi /e/ seperti lele pada akhir dialek vokal serta penggunaan akhiran /o/, menyebabkan Bahasa Melayu Patani yang pekat sangat sulit dipahami oleh penutur Bahasa Melayu yang lain (Kecuali penutur Bahasa Melayu Kelanatan serta penutur Bahasa Melayu Terengganu yang berhampiran). 

Pada asasnya, ianya adalah bahasa yang sama atau sebuah varian Yawi yang merentasi sempadan di Thailand, Yawi merupakan salah satu bahasa, Yawi (Jawi dalam bahasa Melayu) merujuk kepada terjemahan Arab untuk penulisannya. 

Di Patani dan Kelantan secara tradisinya menulis Arab, sebagai Jawi. Terdapat pendapat mengatakan yang adalah sepenuhnya bertentangan dengan bahasa Melayu baku, dan bahasa Melayu Patani dan Kelantan adalah lebih tua dan mempunyai sejarah yang lebih bermakna (menulis Bahasa Arab) daripada bahasa Melayu baku. Ianya berakraban dengan Bahasa Melayu Terengganu tetapi berbeza dengan bahasa Melayu baku.



No comments:

Post a Comment